Didikan Solat Seawal Usia |
1.Ibadah Terhebat
Siapa yang tidak suka sesuatu yang hebat bukan? Solat amat agung kedudukannya dalam Islam.
Perintah ibadah lain disampaikan melalui jalan wahyu biasa iaitu dengan perantaraan Jibrail. Namun solat Nabi Muhammad SAW terima sendiri secara langsung daripada Allah SWT.
Anas bin Malik menceritakan:( Riwayat al-Nasa'i )
"Difardukan solat ke atas Nabi Muhammad SAW ketika Israq sebanyak 50 rakaat, Kemudiannya dikurangkan sehinggalah menjadi 5 rakaat. Kemuddiannya diseru: "Wahai Muhammad, sesungguhnya tidak berubah ketetapan di sisi-Ku. Maka bagimu yang lima ini sebagaimana yang 50 ( nilai pahalanya)".
2. Yang Pertama
Yang pertama selalunya istimewa. Solat amalan kita yang pertama dihisab kelak.
"Perkara pertama yang dihisab atas seorang hamba itu pada hari kiamat ialah solat. Sekiranya elok solatnya, eloklah seluruh amalannya."( Riwayat al-Tabrani )
3.Yang Terakhir
Yang terakhir juga biasanya teristimewa. Nabi Muhammad SAW rasul terakhir. Solat juga wasiat terakhir Nabi kepada kita. Ummu Salamah, isteri Baginda, menceritakan:
"Nabi berpesan semasa sakitnya sebelum Baginda wafat:' Solat, solat, Dan hamba-hamba kamu.' Tidak henti-henti Nabi berpesan sehingga Baginda sendiri tidak mampu berkata-kata lagi."( Riwayat Ibn Majah )
4. Syurga Firdaus Menanti
Maha pemurahnya Allah, tidak mewajibkan hamba-Nya dengan sesuatu perkara melainkan diberiNya juga ganjaran. Padahal selayaknya hamba melakukan segala perintah tuannya tanpa upah. Namun Allah SWT menjanjikan pulangan cukup lumayan sekiranya kita menjaga solat. Allah SWT berfirman:-
"Dan mereka menjaga solatnya. Merekalah para pewaris. Yang mewarisi syurga Firdaus, mereka hidup kekal di dalamnya."( Al-Mukminun: 9-11 )
5. Berbicara dengan Allah SWT
Dalam suatu hadis qudsi Allah berfirman :-
" Aku telah fardukan atas umatmu lima solat, Aku berjanji dengan diri-Ku, bahawa siapa yang sungguh-sungguh menjaganya pada waktunya, akan Aku masukkannya ke syurga. Dan sesiapa yang tidak menjaganya, tiadalah untuknya janji-Ku itu".( Riwayat Ibn Majah )
Semasa solat kita sebenarnya sedang berbicara dengan Allah. Allah berfirman, " Aku bahagikan solat kepada dua ; antara Aku dan hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia minta."
Tatkala hamba-Ku berkata: "Alhamdu lillahirabbil 'alamin"
Allah membalas: " Hamba-hamba-Ku memuji-Ku".
Apabila dia berkata: "Arrahmanirrahim".
Allah menjawab:" Hamba-Ku memuja-Ku".
"Maliki yaumiddin"
Allah menjawab: "Hamba-Ku ini mengagung-agungkan-Ku".
"Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'in"
Allah membalas: " Inilah antara-Ku dengan hamba-KU, dan bagi hamba-Ku apa yang dia pohon."
Maka apabila dia berkata: " ( Baki surah al- Fatihah )
Allah membalas: " Inilah untuk hamba-Ku, dan bagi hamba-Ku apa yang dia pohon".
(Riwayat Muslim)
6.Mengadu pada Allah SWT
Subhanallah, alangkah hebatnya saat itu! bukan sekali. Sekurang-kurangnya lima kali sehari kita berbual dengan Allah
Bahkan sayang sekali kalau kita tidak mengambil peluang ini untuk mengadu masalah diri kepada Allah. Kerana " Saat yang paling hampir antara hamba dan Tuhannya adalah ketika dia sedang sujud. maka perbanyakkan doa kala itu".
( Riwayat Muslim )