Assalaamu’alaikum w.b.t….. Sebagaimana telah kita
ketahui apabila tibanya malam 15 Sya’aban, ramai yang akan ke masjid
untuk solat jemaah dan membaca yasin sebanyak 3 kali. Tetapi tahukah
kita dari mana amalan itu berasal? Sedangkan kita tahu, bahawa sesuatu
ibadah khusus yang dilakukan jika tiada amalan atau dalil dari nabi Muhammad S.a.w
maka dikira bid’ah. Persoalannya mengapa perlu dilakukan sebanyak 3
kali dan dikhususkan pada malam tersebut? Sedangkan bacaan Yasin boleh
dilakukan pada bila-bila masa dan tidak terhad kepada berapa kali.
Seperti yang selalu saya lihat, bacaan Yasin yang
dibuat sebanyak 3 kali itu dilakukan dengan pantas dan terkejar-kejar.
Mungkin ianya sesuai dengan orang yang sudah mahir membaca Qasar,
tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mahir dengan bacaan Qasar
lebih-lebih lagi bagi yang tidak mahir membaca AlQuran bertajwid.
Tidakkah itu sudah menjadi tunggang-langgang dan tidak berlaku dalam
keadaan yang tenang. Apakah bagus membaca AlQuran dalam keadaan
tergesa-gesa dan salah tajwidnya? Apakah hikmah di sebalik tergesa-gesa
dan tidak faham apa yang dibaca itu?
Sebenarnya tiada hadith yang sahih yang memberitahu tentang bacaan
yasin 3 kali pada malam nisfu Syaaban ini dan jika ada pun, ianya adalah
hadith berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban yang dhaif dan juga
terdapat dalam hadith maudhu’ (palsu). Walau bagaimanapun ada sebahagian
ulama berpendapat hadis dhaif boleh dipegang dalam amalan sunat secara
perseorangan. Tetapi tidak sekali-kali dengan hadith maudhu’. Ingat, hadith maudhu’
maknanya hadith PALSU, dan hadith PALSU hanyalah hadith yang
direka-reka oleh golongan tertentu. Dengan kerana itu, adalah penting
agar kita berhati-hati dalam memahami martabat sesuatu hadith itu.
Namun , dalam soal bacaan Yasin sebanyak 3 kali dalam
nisfu Syaaban tetap tidak ada hadith yang sahih berkenaannya dan amalan
tersebut tiada ditunjukkan contoh langsung oleh nabi dan sahabat.
Maka mengapa kita sekarang ini mengadakan majlis tersebut di
masjid-masjid apabila tibanya malam nisfu Syaaban sahaja? Mengapa perlu
menetapkan malam itu untuk membaca Yasin 3 kali dan berduyun-duyun
menuju ke masjid sedangkan malam lain tidak? Itu yang perlu diperhati
bersama.
Dan saya tidak berani mengatakan amalan tersebut
haram. tetapi kita perlu ingat, amalan ibadah khusus yang bukannya
berasal dari nabi sudah dikira bid’ah dan dibimbangi amalan itu akan
menjadi penat dan lelah semata-mata kerana tidak berasas atau menambah
dosa sahaja. Tetapi menurut fatwa dari Syeikh Abdul Aziz bin Baaz, amalan itu dikira bid’ah dan penjelasannya ada saya sertakan di bawah nanti.
Maka sebaiknya adalah kita lakukan sahaja amalan
membaca Yasin atau apa-apa sahaja bacaan AlQuran , tanpa perlu
dikhususkan 3 kali dan seumpamanya. Dan yang penting, bacaan itu biarlah
TERTIB, TENANG dan memberi keinsafan kepada kita dan bukannya
semata-mata mahu mengejar pahala sehingga membaca AlQuran dengan
tergopoh dan salah tajwid dan mengatakan sepatutnya melakukan bacaan
Yasin 3 kali itu.
Pengertian nisfu Syaaban
Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu
Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam
lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat
dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a.
meriwayatkan bahawa Nabi saw tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg
tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah saw
telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh
lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat
demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda saw dan bergerak. Kemudian
aku kembali dan aku dengar Baginda saw berkata dlm sujudnya, “Ya Allah
aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan
keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu.
Aku tidak dpt menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu
sendiri.”
Setelah Baginda saw selesai sembahyang, Baginda
berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu
syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah dtg kpd hambanya pada
malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kpd mereka yg beristighfar,
memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat
dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”
Hari nisfu sya’aban adalah hari dimana buku catatan
amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku
catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru
akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Sya’aban bermula
pada 14 hb sya’aban sebaik sahaja masuk maghrib)
Fatwa tentang merayakan malam Nisfu Syaaban
Bacaan yasin
Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu
Syaaban ( 15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin
sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin
ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama
dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua
doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin
ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.
Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban
yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh
dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar
dunia masa kini tentang sahih batilnya amalan ini.
Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat
pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah
s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran
dan as-sunnah . Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada
sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan
dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan
memenatkan badan.
Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada
bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan
kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita
digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan
di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di
malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa
bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung
di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah
s.w.t.
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang
ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah
di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan
membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut
tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain
dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah
sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan
khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!
‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban
Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah
sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada
kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
[al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang
menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang
yang tidak diizinkan oleh Allah?” [al-Syur.a 42:21]
Dalam kitab al-Sahihain diriwayatkan daripada `Aisyah
(r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: “barangsiapa
mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana
bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.”
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a,
Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: “Tetaplah kamu dengan
Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah
padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana
setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah
sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya.
Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah
sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka.
Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai
menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada
ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan
mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah
yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang
kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali
kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik.
Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini,
begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan
menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang
menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah,
al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah
menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan
menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh
dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk
tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan.
Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban
kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah
diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa
petikan dari ulasan para alim ulama ini.
Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan
daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur
ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang
fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah),
sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama
yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam
kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if
berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang
terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi
sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat
digunapakai.
Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh
Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim
ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan
di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah
Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu
atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa
yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu
sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an
dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi
mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu
kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa)
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan)
dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada
(Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi
kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” [al-Nisa’ 4:59]
“Dan (katakanlah wahai Muhammad
kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu
berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim
yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku
berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala
keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar
kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu
serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak
disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam
mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka
pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah
engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
[al-Nisa’ 4:65]
Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya
seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang
perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib
mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini
merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia
dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih
elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari
Akhirat.
Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya
Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara
panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan
Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul,
Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah
bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa
malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan
bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan
kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak
kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah.
‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’
(Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki
dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa
pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa
sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada
Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin
Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung
riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat
Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).
Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa
apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam
untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya
amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka
mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w:
“Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada
urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil
yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar
menjauhinya.
Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam
kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd
bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan
ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam
Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith
Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih
istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu
Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam
Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab,
“Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di
tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang
pereka cerita.”
Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id
al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat
seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat
Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali,
Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan
semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan
diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras
yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi,
perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini
juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah
direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui
asal-usulnya).
Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan:
Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis
palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba
malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan
berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).
Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus
rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di
setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi
dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah).
Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali
setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga
adalah maudhu’.
Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu
ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian
ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan
Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah
palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di
malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu
terhadap Rasulullah s.a.w.”
Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’:
“Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak
dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di
bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus
rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela.
Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut
al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan
dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga
tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru
dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa
sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka
tersilap.”
Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin
Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang
membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa
beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan
panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan
tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang
sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah
memadai bagi anda yang mencari kebenaran.
Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat
ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut
pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau
dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada
hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan
tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya
hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas
berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).
Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya):
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.
Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah
(R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan
malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang
hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah
sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan
berterusan-berterusan.’”
Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana
malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah
yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling
baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis
Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi Muhammad
s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk
bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya
dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di
mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.
Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam
Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat,
Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya
bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri
melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa
Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan
dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan
dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul
Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah
ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”
Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk
mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama
di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya
ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu
Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda
sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat
Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada
umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada
umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang
paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah
merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.
Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama
yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w
mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama
bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa
menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke
dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat
tertentu adalah bid’ah yang tercela.
Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh
bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam
Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk
amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang
dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah
diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah
tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang
mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab
adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik
sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang
mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang
diada-adakan.”
Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh
umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang
bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha
Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita
Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.
Ulasan dan terjemahan fatwa : www.darulkautsar.com[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
Rujukan :
1 – http://e-malabari.net/ugama/nisfusyaaban.htm
2 – http://www.darulkautsar.com